Skip to main content

School of Aerospace Engineering

Reconnect, Reflect, Reignite: PPK Aeroangkasa Himpun Alumni Dalam Sukan dan Sesi Inspirasi 25 Tahun

Alumni 1

NIBONG TEBAL, 1 November – Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung-julung kalinya menganjurkan sebuah Program Alumni Meet and Greet 2025 bagi menyemarakkan dan memperkukuh komitmen alumni terhadap pusat pengajian.

Penganjuran program bertema "Reconnect, Reflect, Reignite" ini merupakan langkah pertama yang penting bagi mengumpul semula alumni sejak pusat pengajian itu ditubuhkan 25 tahun yang lalu. Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada alumni, pelajar, dan staf telah hadir ke majlis yang disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar.

Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dengan kerjasama Persatuan Pelajar (AEROSOC) dan Pusat Pembangunan Alumni, di bawah seliaan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya.

​Menurut Pengarah Program, Dr. Nurul Musfirah Mazlan, yang juga Alumni Ambasador di pusat pengajian, matlamat utama program adalah untuk menyambung silaturrahim, mewujudkan jaringan profesional, dan membuka peluang kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan industri.

Program ini bukan sahaja ingin menyambung hubungan silaturrahim malah memberi ruang kepada alumni untuk berkongsi pengalaman kerjaya serta memberi inspirasi kepada pelajar dan warga pusat pengajian,” katanya.

Alumni 2Dr. Nurul Musfirah Mazlan ketika menyampaikan ucapan pembukaan program 

Seiring dengan tema, kemuncak program ialah penganjuran forum alumni bertajuk “Taking off from Students' Dreams to Aerospace Reality" yang bertujuan mendedahkan para pelajar kepada pelbagai aspek realiti kerjaya masa hadapan.

Panel forum menampilkan gabungan alumni daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuklah ​Kolonel Muhammad Mustafa Omar, Pegawai Pemerintah Pasukan Khas Udara (PASKAU); Profesor Ir. Dr. Kamarul Airifin Ahmad, Profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM); Cik Farah Hanum Mohd Fadzil, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Strategik di FireFly; dan Encik Muhammad Noorakmal Noorashid, Jurutera di Pusat Penyelidikan Plexus.

Alumni 3
Barisan panel membincangkan topik forum 

Komitmen alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap alma mater bukan sahaja diperkukuh melalui jaringan profesional, malah turut dizahirkan melalui sumbangan kebajikan kepada pelajar B40. Dalam majlis tersebut, komitmen para alumni dalam membantu pelajar yang memerlukan turut diserlahkan. Satu majlis penyerahan sumbangan wang tunai hasil kutipan alumni telah diadakan. Sumbangan ini telah diserahkan oleh wakil alumni, Dr. Mohd Badrul bin Salleh, kepada Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar, untuk diagihkan kepada seramai 55 orang pelajar B40 yang telah dikenal pasti.

Alumni 4
Sumbangan Alumni untuk pelajar-pelajar B40 disempurnakan oleh wakil alumni

​"Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu para pelajar ini dalam mengejar cita-cita mereka. Ia adalah bukti bahawa hubungan silaturrahim dan jaringan profesional dalam kalangan alumni sentiasa berteraskan faedah bersama dan tanggungjawab sosial," kata Dr. Elmi Abu Bakar.

Bagi merealisasikan peluang kerjasama antara pusat pengajian dan alumni di kalangan industri, pihak pusat pengajian telah membawa para alumni melawat fasiliti yang telah ditambah baik. Lawatan ini bertujuan mempamerkan kemampuan pusat pengajian demi menyokong aspirasi kerajaan dalam mempergiatkan kerjasama antara universiti dan industri.

Alumni 5Alumni dibawa melawat peralatan di makmal-makmal sekitar pusat pengajian 

Bagi merealisasikan peluang kerjasama antara pusat pengajian dan alumni di kalangan industri, pihak pusat pengajian telah membawa para alumni melawat fasiliti yang telah ditambah baik. Lawatan ini bertujuan mempamerkan kemampuan pusat pengajian demi menyokong aspirasi kerajaan dalam mempergiatkan kerjasama antara universiti dan industri.

Alumni 6 
Lawatan ke Aerospace Discovery Center (ADC) 

Bagi menyemarakkan lagi semangat kekeluargaan, program ini turut diserikan dengan acara sukaneka di sebelah petang. Para alumni dibawa ke kompleks sukan dengan menaiki bas USM yang menjadi pengangkutan utama semasa mereka berada di sini.

Alumni 7
Menaiki bas kebanggaan pelajar USM ke kompleks sukan

Acara sukaneka berjaya memaparkan kerjasama berkumpulan yang erat antara alumni, staf, dan pelajar di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa. Acara kemuncak dan penutup program adalah majlis makan malam yang menyediakan platform terbaik untuk interaksi yang lebih santai antara semua pihak. Alumni yang menghadiri program ini memberikan maklum balas positif tentang kepentingan hubungan baik ini, menyatakan bahawa ini adalah masa terbaik bagi mereka untuk membalas semula dengan berkongsi kepakaran industri mereka kepada pelajar dan staf pusat pengajian.


Alumni 8
Acara sukaneka antara alumni, pelajar dan staf mengeratkan hubungan silaturrahim

Alumni 9
Bergambar beramai-ramai di kompleks sukan

 

Alumni 10
Makan malam bertemakan “Color Block" 

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi, Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Norizham Ab Razak. Beliau menzahirkan harapan agar program Alumni Meet and Greet ini dapat diteruskan di masa hadapan bagi menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara alumni, pelajar dan staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa. Turut hadir pada program ini ialah Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, Ir. Dr. Hussin Mamat dan barisan Exco pusat pengajian. Program Alumni Meet and Greet 2025 ini telah berjaya memperkukuh hubungan dan komitmen dua hala antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan alumni, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk pembangunan industri aeroangkasa negara.

Teks and image : Dr. Nurul Musfirah Mazlan