Skip to main content

School of Aerospace Engineering

PELAJAR PUSAT PENGAJIAN KEJURUTERAAN AEROANGKASA USM DINOBATKAN PEGAWAI KADET TERBAIK PALAPES UDARA USM


TANJUNG MALIM, 24 September 2024 – Muhammad Aliff Rafi’I Mohd Zamzam (23), pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih sebagai penerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Udara USM dalam satu majlis pentauliahan di sini baru-baru ini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Ke-42 Tahun 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketika ditemubual, Aliff melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah membimbing serta menyokong beliau sepanjang penglibatannya dalam PALAPES Udara USM selama ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT atas anugerah ini dan terima kasih saya ucapkan kepada jurulatih, pegawai, dan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memberi sokongan,” kata bekas pelajar bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Selamat, Pulau Pinang ini.

“Tidak lupa juga kepada keluarga saya yang sentiasa berada di belakang saya, seterusnya menjadi sumber kekuatan untuk diri ini terus berusaha sehingga terplilih menerima anugerah pada majlis pentauliahan tahun ini,” katanya.

“Terutamanya kepada kedua ibu bapa yang merupakan kunci serta pembakar semangat saya untuk terus memberikan komitmen penuh untuk menghadiri latihan selama ini!” tambah anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Beliau turut menekankan anugerah ini bukanlah penamat, sebaliknya satu permulaan untuk terus menyumbang kepada negara sambil memberi inspirasi kepada mereka di luar sana untuk mengejar impian dalam bidang yang diceburi.

“Saya akan terus membawa semangat PALAPES ke mana sahaja saya pergi, dan berusaha untuk menjadi individu yang lebih berdisiplin serta berdedikasi dalam setiap langkah yang diambil kelak,” tambahnya lagi.

Beliau yang merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik juga menyatakan bahawa pemilihannya untuk menyertai PALAPES Udara kerana minat yang mendalam dalam dunia penerbangan serta latihan fizikal yang mencabar.

“Keputusan untuk menyertai PALAPES Udara adalah seiring dengan minat saya dalam dunia penerbangan yang tertanam sejak kecil manakala minat dalam bidang ketenteraan pula wujud kerana keterujaan saya akan disiplin, latihan fizikal, dan keunikan uniform tentera itu sendiri,” kata Alif.

“Saya sering kali kagum melihat pesawat di langit dan ingin merasai sendiri pengalaman dalam unit udara sebelum ini.

“Apatah lagi PALAPES Udara bukan sekadar menawarkan peluang yang unik dan teknikal, malah, ianya sesuai dengan bidang pengajian saya di USM juga,” ujar beliau lagi.

Pada majlis pentauliahan ini, Alif merupakan salah seorang daripada 35 penerima Anugerah Pegawai Terbaik yang terdiri 16 pegawai dari PALAPES Darat, 11 pegawai dari PALAPES Laut dan lapas pegawai dari PALAPES Udara dari UA masing-masing.

Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal & Siti Faizah Abd Halim
Foto: Sumbangan MPRC/ Muhammad Aliff Rafi’I Mohd Zamzam
Credit : USM KAMPUS KEJURUTERAAN