Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Kepada semua AJK dan Fasilitator AEROFAIR 2015,
Hari Utama AEROFAIR 2015 makin hampir iaitu pada Sabtu minggu ini 25/4/2015, dari 8 pagi hingga 5 petang. Saya berharap kita semua dapat hadir sepenuh masa dari awal untuk memberi sumbangan dalam bentuk buah fikiran, tenaga, dan masa pada hari tersebut. Paling utama sekali ialah sumbangan kita dari segi “intangibles” iaitu dalam bentuk keikhlasan, semangat, keseronokan, dan keharmonian dalam berkerja bersama-sama. Kehadiran diri masing-masing untuk program ini bukan sahaja penting untuk diri masing-masing, yang akan dikira dalam bentuk MyCPD atau MyCSD, tetapi juga bagi yang lain. Ini kerana keramaian kita sebagai AJK dan fasilitator yang hadir akan memeriahkan lagi suasana bagi mereka yang hadir sebagai peserta. Dan majlis yang meriah bagi peserta akan meningkatkan lagi semangat, usaha dan keberkesanan mereka di dalam program pembelajaran yang telah kita sediakan.
Saya harap kita semua dapat melaksanakan tugasan kita untuk program ini dengan sebaiknya, kerana program yang kita jalankan bertujuan memberi peluang dan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak/adik-adik muda kita. Mungkin impak program ini pada kita sendiri sangat kecil dari segi KPI/SKT/LPP, tapi nilai ilmunya kepada peserta kita berkemungkinan memberi kesan sepanjang hayat mereka. Dalam konteks ini, berapalah sangat nilai KPI yang zahir hanya pada mata kasar berbanding dengan kesan mendalam yang dapat kita corakkan sepanjang hayat? Tidak mustahil kalau ada di antara peserta kita yang terus mengubah pelan perancangan masa depan ke arah sesuatu yang mengagumkan hanya kerana program ini, dan itu yang kita usahakan dan harapkan. Dan nilainya tak terhingga, walaupun hanya seorang yang terkesan sebegini.
Program AEROFAIR yang khusus kepada Indoor Flight ini adalah yang pertama kali akan dijalankan di Malaysia di dalam bentuk yang sangat terperinci sebegini. Untuk ini saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Biro Bengkel dan Pertandingan yang di terajui oleh En. Haniff Junos dan En. Amir Wahab yang telah banyak berusaha untuk menyediakan modul pembelajaran Indoor Flight; menambahbaik rekabentuk dan proses pembuatan pesawat dari yang asal; dan melatih fasilitator sukarelawan yang terdiri dari lebih 50 pelajar Kejuruteraan Aeroangkasa dan hampir 10 pensyarah dan staf Kejuruteraan Aeroangkasa. Program ini juga tidak akan dapat dijayakan sepenuhnya tanpa bantuan dari dua Biro lagi: (1) Biro Maklumat yang diketuai oleh Pn. Farah Hamid bersama AJKnya dengan penuh terperinci dan setia menguruskan proses pendaftaran, kewangan, pensijilan, pemberiah hadiah, dan pengurusan/penyebaran maklumat​; (2) Biro Teknikal yang diketuai oleh En. Zihad Mahmud bersama AJKnya dengan penuh kecekalan dan disiplin meguruskan proses penyediaan fasiliti/peralatan, makanan, multimedia, publisiti, dan keselamatan.
Kita akan mengadakan persiapan terakhir untuk AEROFAIR 2015 pada hari Jumaat 24/4/2015 pada sebelah pagi dan petang. Di antara persiapan utama ialah penyediaan fasiliti dan kelengkapan di Dewan Utama. Saya berharap AJK dan fasilitator dapat bersama-sama meluangkan masa untuk membantu persediaan terakhir ini sehari sebelum Hari Utama supaya program dapat dijalankan dengan lancar pada keesokan harinya bermula awal pagi. Untuk program ini, kita telah dapat sambutan yang menggalakan dengan penyertaan seramai 42 pasukan dari sekolah-sekolah menengah di Pulau Pinang (lebih 2 dari sasaran kita untuk 40 pasukan). Setiap pasukan disertai oleh 5 pelajar dan 1 guru pengiring, bermakna jumlah peserta hampir mencecah 250 orang (kerana ada beberapa sekolah yang menghantar 2 pasukan dengan 1 guru pengiring).
Sekali lagi, ucapan terima kasih yang tidak terhingga dari saya kepada semua AJK dan fasilitator bagi AEROFAIR 2015 ini. Moga program kita dapat dilaksanakan selancarnya dan bermanfaat sepenuhnya kepada para peserta kita. Harapan kita juga supaya impak program ini dapat menjana momentum ke arah mewujudkan program-program ilmiah lain yang dapat meningkatkan minat pelajar terhadap sains, matematik, engineering, dan teknologi (STEM). Kita di dalam bidang aeroangkasa mempunyai banyak peluang cerah untuk usaha ke arah ini berbanding bidang lain kerana imej aeroangkasa sebagai bidang berprofil tinggi, sebagai peneraju utama teknologi masa depan, dan sebagai satu-satunya bidang yang membawa manusia melangkaui batasan graviti. Masa depan negara terlalu berharga untuk kita TIDAK mulakan usaha dari peringkat awal.
Ikhlas,
Pengarah AEROFAIR 2015
Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa
Universiti Sains Malaysia