Pengenalan kepada AEROFAIR 2014

Pengenalan
Program AEROFAIR USM 2014 anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKAero) Universiti Sains Malaysia (USM) dibiayai oleh Majlis Pendidikan Pulau Pinang, Institut Pulau Pinang, di bawah agenda Program Penggalakan Sains dan Teknologi (PPST). Di bawah agenda tersebut, beberapa program termasuk AEROFAIR 2014 dianjurkan untuk menggalakkan dan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).Program AEROFAIR anjuran PPKAero USM telah dijalankan hampir setiap tahun seawal tahun 2006 dengan jumlah penyertaan yang besar daripada pelajar dan guru sekolah menengah seluruh Pulau Pinang.

Isu Nasional terhadap Pembelajaran Sains
Di Malaysia, masalah kurang minat pelajar terhadap bidang STEM semakin menjadi isu utama negara. Malaysia telah menyasarkan nisbah pengambilan pelajar sebanyak 60% aliran sains berbanding 40% aliran sastera. Namun kini, kira-kira 20% pelajar sahaja yang mengambil bidang sains semasa di Tingkatan 4 (contohnya, seperti yang dilaporkan oleh The New Straits Times pada November 2012 dan juga di dalam dokumen Malaysia Education Blueprint 2013-2025). Salah satu punca permasalahan ini adalah kerana kurangnya aktiviti-aktiviti yang dapat menimbulkan minat dan keseronokan untuk pelajar mempelajari dan menerokai ilmu sains di awal persekolahan menengah. Kajian yang telah dilakukan oleh Oon dan Subramaniam pada tahun 2011 menunjukkan bahawa pelajar menganggap subjek sains terutamanya fizik dan matematik sebagai bosan, susah, abstrak dan tidak relevan kepada dunia realiti. Usaha perlu dilipatgandakan bagi mengatasi masalah ini secara lestari.

Menggalakkan Sains Melalui Aktiviti-Aktiviti Sains Aeroangkasa
Untuk menangani masalah di atas, penganjuran AEROFAIR 2014 adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan subjek sains dan matematik menerusi penyertaan mereka dalam aktiviti-aktiviti menyeronokkan berteraskan kejuruteraan aeroangkasa. Di PPK Aero, kami mempunyai peluang terbaik dalam menggalakkan pembelajaran subjek STEM kerana faktor “keseronokan” sains aeroangkasa itu sendiri yang memperlihatkan keterujaan masyarakat umum, khususnya para pelajar terhadap objek upaya terbang. Kebanyakan kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa rata-rata pelajar akan lebih cenderung dan menghayati sains sekiranya mereka berpeluang melalukan aktiviti yang bersifat praktikal dan nyata semasa proses pembelajaran supaya mereka dapat “melihat” sains, bukan sekadar menghafal formula dan teori untuk menjawab peperiksaan. Inilah yang kami harapkan melalui penganjuran AEROFAIR 2014 – untuk melibatkan pelajar melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan. Tiga aktiviti dan pertandingan yang menjadi pengisian utama program telah dirancang – Pesawat Ruang Tertutup (Indoor Flight), Pemodelan Rangka Pesawat (Airframe Modeling), dan Cabaran Roket Air (Water Rocket Challenge).

Objektif Program
Program AEROFAIR 2014 mengandungi 3 objekti futama:

  1. Untuk meningkatkan minat pelajar terhadap pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) melalui pembelajaran kendiri, kerja kumpulan dan pertandingan untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan sains aeroangkasa.
  2. Untuk menilai pendapat guru dan pelajar mengenai pembelajaran sains dan juga program AEROFAIR melalui kaji selidik dan tulisan esei.
  3. Untuk mengekalkan impak program menerusi penerbitan buletin pasca PPST agar dapat dikongsikan hasil dan pencapaian program kepada umum.

(click here to read the texts in English)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *