Kemaskini 22/9/2014: Kami telah memuatnaik video pengajaran bagaimana untuk membina pesawat dalaman di Youtube.
Pada sabtu (23/8/2014), jawatankuasa AEROFAIR USM 2014 telah berjaya menjalankan Bengkel Pesawat Ruang Tertutup (atau Pesawat Dalaman). Bengkel tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan dari 19 buah pasukan dari sekolah-sekolah menengah di Pulau Pinang. Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua peserta -75 pelajar dan 19 guru – kerana dapat menghadirkan diri untuk menyertai bengkel Pesawat Dalaman yang julung kali dijalankan. Pihak kami akan menyerahkan Sijil Penyertaan bagi kedua-dua program iaitu bengkel dan pertandingan semasa Majlis Penganugerahan pada hari pertandingan iaitu AEROFAIR USM 2014, 27/9/2014.
Bengkel dimulakan dengan sesi teori pada 9 pagi oleh Dr. Zulfaa, diikuti dengan rehat untuk bergambar dan sarapan pada 10.30 pagi. Sesi praktikal telah dijalankan pada 11 pagi oleh saudara Haniff dan berakhir pada 1.30 tengahari diikuti dengan makan tengahari. Walaupun sesi praktikal telah dirancang untuk ditamatkan lebih awal tetapi ramai peserta telah mengambil keputusan untuk menunggu lebih lama sehingga jam 2.00 petang untuk bertanya soalan, mengambil gambar dan memeriksa model pesawat dalaman kami.
Kami telah dibantu oleh beberapa orang untuk melancarkan sesi pembelajaran bengkel ini: Dr. Fazreena, Zihad, and Siew Peng Mun, dan beberapa orang pelajar. Kami juga telah mendapat bantuan pentadbiran dan teknikal bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan menyediakan persekitaran bengkel yang baik. Terima kasih kepada anda semua!
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta kerana mengisi borang kaji selidik yang telah kami edarkan diakhir sesi praktikal. Semua maklum balas daripada anda amat kami hargai. Kami sebagai ahli jawatankuasa belajar beberapa perkara dari kaji selidik tersebut. Kami mengetahui bahawa hampir kesemua peserta mendapati bengkel tersebut menarik dan berguna kerana mereka dapat mempelajari perkara-perkara baharu berkaitan sains dan kejuruteraan aeroangkasa. Mereka terutamanya teruja dengan sesi praktikal, kerana mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan yang mereka pelajari untuk membina kapal terbang. Kami juga mempelajari bahawa kami perlu memperbaiki bengkel ini pada masa hadapan dengan memanjangkan masa sesi praktikal untuk memberi ruang kepada pelajar untuk menyiapkan proses membina pesawat dalaman dan menerbangkannya di akhir sesi.
Seperti dijanjikan, kami telah memuat naik 2 dokumen dari bengkel tersebut:
- “Presentation Slides” untuk sesi teori dan praktikal.
- Manual Pembinaan Pesawat Dalaman.
Sebagai tambahan kepada dokumen di atas, sila rujuk panduan The Famous Whammy Series dari National Free Flight Society yang mengandungi 2 rekabentuk pesawat dalaman:
- 1. “Double Whammy” adalah untuk peringkat permulaan dengan masa penerbangan 1-2 minit, dan reka bentuk yang telah diterbangkan oleh Haniff sebelum bermulanya sesi praktikal bengkel.
- 2. “Penny Plane” adalah reka bentuk yang lebih canggih dengan lengkungan pada aerofoil dan masa penerbangan melebihi 5 minit.
Untuk panduan yang lebih lanjut berkenaan penghasilan pesawat dalaman dan beberapa tip pembinaan yang lain, anda boleh rujuk artikel Science Olympiad Wright Stuff Event Construction Tips. Artikel ini mengandungi penerangan untuk menentukan pusat graviti pesawat, sayap dwisatah, penerbangan secara membulat, kipas dan motor getah. Reka bentuk pesawat yang ditunjukkan di dalam artikel ini adalah sama dengan reka bentuk yang digunakan di dalam bengkel untuk mendemonstrasikan teknik pembinaan pesawat dalaman. Tetapi harus diingat bahawa reka bentuk ini terlalu ringkas dan tidak mempunyai masa penerbangan yang baik (kurang dari 1 minit). Nasihat kami supaya anda menggunakan reka bentuk yang lebih baik untuk membina pesawat anda, seperti reka bentuk pesawat Penny Plane.
Jangan lupa juga untuk mengunjungi semula halaman Pertandingan Penerbangan Ruang Tertutup yang mengandungi video dan laman web yang lain bagi membantu anda membina pesawat dalaman.
Akhir sekali, kami kongsikan beberapa keping gambar di sini termasuk gambar kumpulan. Sila klik ke halaman Indoor Flight Workshop untuk mendapatkan gambar-gambar tersebut.
(click here to read the texts in English)