Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Untuk makluman semua
viewers, Aktiviti 1 untuk Aerofir 2017 telah diadakan pada 10 Julai 2017, Isnin, dari pukul 7.30 pagi sehingga 4.00 petang. Sebanyak 4 buah sekolah yang telah tersenarai seperti di dalam link
ini telah hadir bersama 5 orang murid dan guru pengiring. Kehadiran ini sangat baik kerana semua sekolah yang terpilih hadir pada ketetapan tersebut. Seramai 20 orang murid, 6 guru pengiring, 8 orang krew teknikal Aerial System Robotic Team (ASRO), 1 orang jemputan khas dari Perpustakaan USM (En Jamil Kassim), dan Ahli jawatankuasa Aerofair telah hadir pada tarikh tersebut.
Terima kasih kepada Pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Selatan, iaitu Cikgu Fatin Nadzirah dan Cikgu Fahmi juga hadir untuk memantau aktiviti yang julung kali diadakan secara bersama dengan PPK Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia.
Wakil daripada Penang Education Council iaitu penyumbang dana kepada aktiviti Aerofair 2017 juga hadir iaitu Pn Fatimah, Pn Shafawati, dan seorang lagi pegawai pada pagi hari tersebut. Mereka datang dari Pulau Pinang untuk melihat, merasai dan memberikan semangat kepada aktiviti kami ini.
Aktiviti 1 kali ini dimulai dengan ucapan selamat datang dari Pengarah Projek dengan menerangkan objektif dan perjalanan program untuk hari ini. Ucapan terima kasih kepada ajk aerofair 2017 dan ucapan terima kasih kepada guru guru yang berusaha untuk mengumpulkan murid dari setiap sekolah dan hadir pada hari tersebut seperti tentatif yang telah ditetapkan demi untuk menyemai STEM secara teori dan praktikal kepada peserta.
Peserta juga memberikan kerjasama yang amat baik dengan memahami taklimat yang diberikan khususnya mengenai misi dan visi projek ini.
Selepas sarapan pagi, Dr Ahmad Faizul Hawary, Pensyarah merangkap ketua makmal mekanik penerbangan telah memberikan satu kelas teori asas sistem kapal terbang kawalan jauh dan asas penerbangan sebuah kapal terbang tanpa pemandu. Beliau adalah sukarelawan untuk Aerofair 2017 dan dengan ikhlas hati memberikan penerangan yang sangat dinamik dan bersistematik terhadap kapal terbang rc dan sistem yang terlibat melalui penyampaian santai dengan menggunakan bahan bantu mengajar yang disediakan sepanjang taklimat tersebut.
Selesai penerangan tersebut, setiap kumpulan telah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu 2 orang untuk simulasi penerbangan manakala 3 orang selebihnya untuk pemasangan kapal terbang dan set FPV. Setiap kumpulan ini juga mempunyai seorang mentor yang berpengalaman untuk memberikan tunjuk ajar kepada perkara yang diperlukan khususnya dari segi teknikal dan teori. Cikgu cikgu juga kelihatan berminat dan menyertai pemasangan kapal terbang bersama pelajar. Untuk pemilihan kumpulan ini, mereka telah diberikan kebebasan untuk mereka memilih bahagian mana yang patut mereka sertai.
Seperti contoh, jika mereka bercita cita dan berazam untuk menjadi seorang juruterbang, mereka boleh memilih untuk berada di kumpulan simulasi penerbangan. Manakala yang lain memilih untuk menjadi jurutera atau juruteknik, khususnya di bahagian teknikal, mereka boleh memilih untuk berada di kumpulan pemasangan kapal terbang.
Simulator Penerbangan
Seperti yang dirancangkan, 4 buah set kapal terbang kawalan jauh telah disediakan untuk 4 buah sekolah. Set kapal terbang berjenis Skysurfer bergred Ready – to – fly mempunyai semua kelengkapan untuk membolehkan kapal terbang ini terbang selepas pemasangan di buat.
Set ini didatangkan bersama alat kawalan jauh, 4 channel, dan bateri lithium polimer untuk kapal terbang dan alat kawalan jauh. Ianya juga dilengkapi dengan brushless motor dan electronic speed controller sebagai bahan kuasa pesawat yang mempunyai kipas di belakang.
Penggunaan Aileron, Rudder, Elevator dan Thrust membolehkan ianya untuk terbang menyamai kapal terbang sebenar bersifat asas.
Pada sesi ini, setiap peserta dapat menyiapkan pemasangan kapal terbang tersebut dalam masa 2 jam. Pemasangan sistem FPV di kapal terbang juga dapat disiapkan dalam selang masa yang sama.
Simulator Penerbangan
Simulator penerbangan adalah satu pembelajaran yang efektif untuk seseorang mengawal pesawatnya. Seorang juruterbang komersil juga perlu melalui ujian simulator penerbangan untuk membiasakan dirinya dengan kawalan pesawat yang akan dikendalikannya khususnya di waktu kecemasan. Untuk aktiviti ini, teori dan praktikal untuk pembelajaran penerbangan menggunakan simulator telah diadakan kepada bakal penerbang pesawat ini. Asas keselamatan iaitu do’s and dont’s sebelum, semasa dan selepas penerbangan juga diberikan kepada pelajar. Contoh adalah seperti dengan memastikan keadaan padang yang luas, dan tiada hidupan seperti manusia dan haiwan di atas padang. Memastikan throttle diletakkan di bahagian minimum dan hanya dikawal oleh seorang juruterbang yang terlatih.
Sistem Phoenix RC dan alat kawalan diberikan kepada setiap sekolah membolehkan mereka untuk berlatih di sekolah mereka. Mereka juga diberikan peluang untuk membuka satu booth dengan menggunakan simulator ini dan memberikan pengajaran kepada rakan rakan mereka yang berminat dalam aktiviti aeroangkasa ini. Oleh itu, dari sini, mereka bukan hanya dapat belajar berkenaan cara yang standard berkenaan penerbangan kapal terbang RC tetapi mereka juga dapat menjadi wakil kepada USM AEROSPACE ENGINEERING SCHOOL untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada rakan rakan yang berminat dan ingin mengetahui bagaimana penerbangan kapal terbang rc dapat dilakukan dengan betul dan menyamai kawalan penerbangan kapal terbang sebenar.
Pada masa yang sama, mereka boleh mengenakan cas yang berpatutan kepada pengunjung dan hasil dari keuntungan yang didapati, mereka boleh menggunakannya untuk simpanan atau menggunakannya untuk membiayai penyelenggaraan kapal terbang dan simulator tersebut. Dari sini, asas keusahawanan bercirikan STEM – Aeroangkasa telah diterapkan kepada komuniti dan sekolah seperti kata pepatah melayu berbunyi, sikit sikit lama lama membukit!
Pada sebelah petang, kita telah mengadakan satu sesi taklimat keselamatan berkenaan penerbangan kapal terbang kawalan jauh dan penggunaan bateri yang selamat. Taklimat ini disampaikan oleh En Amir dan En Zaim dari Team ASRO.
Selesai sesi tersebut, mereka telah pulang ke sekolah masing masing bersama peralatan yang telah dibekalkan untuk mereka menggunakannya di sekolah beserta berkongsi idea dan kemahiran kepada rakan rakan dan guru di sekolah masing masing. Kami juga telah menetapkan untuk hadir ke sekolah pada tarikh yang telah ditetapkan dipantau bersama oleh Pegawai PPD SPS untuk memberikan penerangan penerbangan dan membiasakan mereka untuk terbang di kawasan padang sekolah mereka.
Semoga dengan aktiviti pada hari ini dapat menambahkan sinar kepada pemantapan STEM khususnya bidang Aeroangkasa yang telah Aerofair dan Penang Education Council usahakan sejak dari ianya mula ditubuhkan.
Bersambung di posting seterusnya.